Suami Isteri Ibarat ‘Pakaian’, Jaga Aib Pasangan Masing-Masing

MEDIA sosial begitu ‘berkuasa’ pada era milenial kini. Masakan tidak, medium itu mampu menularkan informasi mahupun pelbagai jenis cerita hanya dalam masa yang singkat.

Apatah lagi jika ia melibatkan kisah sensasi atau menyayat hati sehingga menjadi topik hangat perbualan ramai.

Demikianlah penangan media sosial yang begitu berpengaruh dalam kehidupan kita pada hari ini.

Meskipun demikian, jika penggunaannya disalahgunakan, platform tersebut boleh mendatangkan dampak yang buruk bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga orang lain.

Apalagi andai kisah yang didedahkan itu berkaitan dengan pasangan dan perihal rumah tangga, seolah-olah membuka aib.

Dalam hal itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menegur tentang perbuatan mendedahkan keaiban pasangan.

Beliau mengakui, perselisihan dalam rumah tangga pasti akan berlaku. Begitupun, ia bukanlah bermaksud kita dibolehkan berlaku tidak baik terhadap pasangan masing-masing.

“Sebaliknya, setiap pasangan hendaklah menjaga hubungan baik sesama mereka. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW mencela pasangan yang mendedahkan keaiban pasangannya.

“Namun, seandainya pasangan telah melakukan kesalahan, dosa dan maksiat, sekiranya ia boleh diselesaikan dengan baik, selesaikan dengan cara yang sedemikian.

“Jikalau tiada solusi yang baik, maka mahkamah adalah tempat penyelesaian terbaik,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Dalam pada itu, pendakwah tersebut mengingatkan bahawa pendedahan berkaitan pasangan di media sosial bukanlah jalannya.

Ketahuilah bahawa ALLAH SWT memberikan perumpamaan dalam al-Quran bahawa pasangan suami isteri itu ibarat pakaian yang saling menutup keaiban dan melindungi sesama mereka, selain memelihara daripada disakiti, terangnya.

Menerusi kalam-NYA itu, ALLAH SWT berfirman: “Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Dr Ahmad Sanusi kemudian menukilkan pandangan al-Raghib al-Asfahani yang menyatakan, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing.

Baca juga 5 Tip Cara Bergurau Senda Tanpa Undang Kemarahan Pasangan

Kata al-Raghib al-Asfahani lagi: “Dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.”

Melihat ungkapan itu, jelas ahli akademik tersebut, ia adalah sebuah pengajaran penting pada era dunia hari ini yang mana ada pasangan yang saling mendedahkan aib sesama mereka.

Aib suami isteri
JANGANLAH membuka aib pasangan kerana Rasulullah SAW mencela mereka yang berbuat demikian.

Malah dalam sebuah hadis, katanya, Rasulullah SAW mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka.

“Dalam sebuah insiden yang lain, seorang wanita pernah datang dan mendedahkan kepada baginda SAW bahawa dia telah berzina. Rasulullah kemudian meminta wanita tersebut pulang dan memikirkan kembali pendedahan tersebut. Ini kerana ALLAH masih membuka ruang taubat untuk kembali kepada-NYA.

“Namun, seandainya kesalahan tersebut telah sabit, maka selesaikanlah dengan pihak berautoriti seperti mana yang digariskan dalam syariat Islam.

“Janganlah dijadikan budaya bahawa setiap kesalahan atau kesilapan suami atau isteri itu dipamerkan dalam media sosial,” nasihat beliau.

Justeru, berhati-hatilah dengan penggunaan media sosial masing-masing agar tidak menimbulkan fitnah kepada diri sendiri dan orang lain.

sumber ;facebook