Penduduk Kampung Tok Bok, Sungai Durian cemas air naik paras dada

KUALA KRAI: Penduduk di Kampung Tok Bok, Sungai Durian di sini cemas apabila banjir yang menenggelamkan rumah mereka naik mendadak hingga ke paras dada dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Keadaan itu menyebabkan 28 mangsa banjir daripada lima keluarga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai.

Antaranya, warga emas, Wan Azmi Wan Ibrahim, 64, yang memberitahu Utusan Malaysia, dia bersama isteri dan enam anak mereka terpaksa mengharungi air separas dada pada pukul 11.30 pagi untuk ke PPS SMK Kuala Krai yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah.

Katanya, mereka pada mulanya merancang untuk berpindah ke PPS tersebut apabila hujan reda,namun, hujan lebat tidak henti-henti turun dengan paras air sekeliling rumah semakin naik dalam masa singkat.

“Mahu tidak mahu, kami redah juga air separas dada dalam keadaan hujan lebat. Walaupun saya sukar untuk berjalan dan memerlukan bantuan tongkat kerana sakit lutut, saya gagahkan juga diri sambil isteri dan anak pimpin tangan,” katanya di sini hari ini.

Turut nekad meredah air banjir separas dada untuk ke PPS tersebut, Farahhana Abdul Rahim, 26, bersama suaminya sambil mendukung dua anak mereka, masing-masing berumur tiga tahun serta enam bulan.

“Kami berpindah agak lewat ketika paras air semakin naik kerana menunggu hujan reda tetapi hujan turun makin lebat. Jadi kami fikir, baik bawa anak-anak keluar segera sebelum keadaan jadi lebih buruk,” katanya.

Sementara itu, Azimah Che Abd Rahman, 49 berkata, dia dan suami serta dua anak mereka keluar meninggalkan rumah untuk berlindung ke PPS Veterinar di Guchil, di sini dengan menaiki perahu.

“Sudah menjadi rutin setiap tahun bagi keluarga saya untuk berpindah PPS tersebut kerana tinggal di kawasan rendah. Cuma kami agak terkejut air naik ke paras dada lebih cepat berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya. – UTUSAN