Mangsa yang hendak keluarkan wang terperangkap berikutan pintu terkunci secara automatik.

tANJONG KARANG – Seorang penghantar makanan terperangkap kira-kira 15 minit di dalam sebuah bank menempatkan mesin pengeluaran automatik (ATM), di sini pada malam Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.41 tengah malam.

Menurutnya, empat pegawainya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sejurus tiba kami dapati seorang remaja berusia 18 tahun terperangkap di dalam sebuah bank yang menyediakan perkhidmatan ATM,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Norazam berkata, mangsa yang hendak keluarkan wang terperangkap berikutan pintu terkunci secara automatik.

“Bomba menghubungi pegawai bank bagi memaklumkan perkara tersebut dan mangsa yang terperangkap dapat dikeluarkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dan kerosakan pada pintu bank,” ujarnya.