Mahal Sungguh Syurga Allah”, Kisah Sayu Seorang Nenek Jaga Anak Autisme Seorang Diri

Anak-anak adalah anugerah Tuhan yang sangat ternilai. Tiada ibu bapa di dunia ini dijadikan bersedia untuk menerima anak-anak yang mempunyai kekurangan contohnya seperti anak autisme.

Antara kriteria utama yang dilihat terhadap anak autisme ini adalah dari segi komunikasi, perkembangan sensori dan masalah kelakuan berulang kerana mereka mengalami masalah untuk mengekspresikan diri.

Namun bagi mereka yang autistik, proses ini terlalu kompleks. Ini membuatkan mereka tidak keruan dan boleh mengalami ‘meltdown’ yang boleh mendorong mereka untuk bertindak luar jangkaan seperti menghantukkan kepala, menggigit diri sendiri, melompat-lompat atau menghempaskan badan ke lantai.

Seorang pengguna Facebook, Natipah Abu telah berkongsi kepada umum kisah sayu seorang nenek tua yang digelar Tok Hindun yang menjaga cucunya, Along seorang anak autisme. Jom kita baca.

KISAH DI SEBUAH DESA
Setiap kali menjelangnya Ramadan, Kak Pah akan ziarah Tok Hindun. Nenek yang telah berusia 84 tahun ini, tabah menjaga cucu kesayangannya yang austime sejak belasan tahun lalu.

Cucu yang yatim piatu itu hakikatnya tak tahu apa-apa pun. Anak syurga itu, tidak boleh bercakap walau sepatah dan tidak juga boleh mengurus diri. Dipakaikan baju, dia buang dan campak semua.

Along, sudah 27 tahun usianya. Mula-mula ayah meninggal, kemudian ibu pula menyusul. Sejak itu, Along dijaga sepenuhnya oleh Tok Hindun.

Siang hari, Along terpaksa diletakkan di dalam bilik khasnya. Di bilik khas yang berlantaikan simen dan berjaring separuh itulah, Along akan mengisi harinya.

Bila ada orang lalu lalang, riuh rendah Along menyapa dgn caranya tersendiri. Waktu makan, Tok Hindun akan masuk ke dalam bilik dan suapkan Along makan. Bila hendak buang air, Along akan gunakan jamban cangkung di hujung bilik itu.

Walaupun bilik ini daif, tapi sangat bersih. Tiada bau yang kurang menyenangkan pun dari tubuh Along. Bukti Along dijaga rapi oleh Tok Hindun.

Dulu, orang tuduh Tok Hindun dera Along. Malah orang siap lapor kepada polis dan pihak polis turun ke rumah Tok Hindun.

Betul, Tok Hindun kurung Along di bilik itu. Betul, Tok Hindun pasang mangga sebesar penumbuk di tingkap yang menjadi pintu masuk Along ke ruang tengah rumah.

Betul, malam-malam pintu papan rumah usang Tok Hindun tu, tak cukup dengan mangga, dia belit pula dgn rantai besi dua tiga hasta.

tok hindun
Sebab, kalau Along terlepas keluar, Along akan berlari tanpa mengenal bahaya. Along pernah terlepas keluar dalam keadaan bogel.

Bukan mudah untuk mengejar Along. Kudrat Along sangat luar biasa. Jika dibandingkan dengan Tok Hindun, Along tepis sekali pun sudah rebah tergolek.

Walaupun rumah Tok Hindun mangga sebesar penumbuk ada dua, tiga ketul, rantai besi 3-4 hasta ada dua, tiga lapis, tapi, Tok Hindun tak pernah tinggalkan Along sendirian. Ke surau pun Tok Hindun tak pernah kerana bimbangkan Along.

Manalah tahu, ketika Tok Hindun keluar, rumah buruk itu terbakar. Macam mana dengan nasib Along! Menangis air mata darahlah Tok Hindun.

Alonglah nyawa Tok Hindun. Setiap malam Along dibawa keluar dari bilik khas dan Along akan tidur dengan nyenyaknya sebelah Tok Hindun. Tak pernah sekali Along mengasari Tok Hindun jauh sekali mencedarakan orang tua itu.

“Kalau ku mati, mu ambiklah Mat Pizi ni, pi bela bagi elok tang mana-mana“,

Sebak Kak Pah bila Tok Hindun pesan begitu. Selama ni, tak pernah pun Tok cakap begitu. Kak Pah faham maksud Tok Hindun. Tok Hindun mahu Along dihantar ke rumah kebajikan.

“Betul ka ni”,

“Haaa, mu dengar wi molek. Kalau ku mati sok, mu ambiklah dia wak gi mana-mana, wi demo bela bagi elok“.

Kak Pah mengangguk, barang kali Tok Hindun cukup sedar, lambat laun dia harus pergi meninggalkan Along.

Sumber: Natipah Abu