Kerjaya bidang animasi kian berkembang
KEMUNCULAN siri animasi popular seperti Upin dan Ipin, Boboiboy, Didi and Friends, Ejen Ali serta Awang Kenit membuka mata generasi muda terhadap prospek cerah bidang kreatif itu, sekali gus berminat menjadikannya kerjaya pilihan pada masa depan.
Tugas utama seseorang juruanimasi bergantung kepada jabatan disertai sama ada prapenerbitan, penerbitan atau pascapenerbitan.
Dalam konteks ini, tugasan prapenerbitan membabitkan proses mereka bentuk karakter, latar belakang, konsep dan papan cerita untuk suatu animasi yang akan dihasilkan.
Juruanimasi di jabatan penerbitan akan mencipta model watak animasi dalam bentuk dua dimensi (2D) mahupun tiga dimensi (3D). Latar belakang untuk suatu animasi dalam bentuk digital dan pergerakan turut dihasilkan oleh jabatan penerbitan.
Jabatan pascapenerbitan pula bertanggungjawab dalam tugas memasukkan bunyi, kesan khas, imej janaan komputer (CGI) dan pencahayaan.
Secara keseluruhan, mereka yang ingin menceburi kerjaya animasi boleh membuat pilihan berikutan kesemua tiga jabatan terbabit menuntut penggunaan kepakaran dan ilmu dipelajari.
Perkembangan industri animasi di negara ini menyaksikan pertumbuhan semakin banyak syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan untuk produksi di dalam mahupun luar negara.
Syarikat animasi bukan hanya menghasilkan siri animasi televisyen atau filem, sebaliknya turut menawarkan perkhidmatan lain seperti mencipta animasi iklan untuk syarikat terkemuka, seni bina, permainan dan aplikasi dalam laman sosial.
Ada syarikat terbabit yang mendapat tawaran menghasilkan animasi untuk saluran popular dari luar negara seperti Cartoon Network dan Nickelodeon.
Antara cabaran utama dihadapi dalam bidang animasi ialah memenuhi tarikh akhir setiap projek yang harus disiapkan mengikut kehendak pelanggan.
Bagi menghasilkan siri animasi yang berkualiti, produksi memerlukan antara satu hingga dua bulan untuk menyiapkan sebuah episod. Jika siri animasi itu mempunyai 13 episod, secara keseluruhan dua tahun diperlukan untuk menyiapkannya dengan mengambil kira tenaga kerja dan kemudahan yang ada.
Mereka yang ingin menceburi bidang animasi juga perlu memiliki kemahiran tinggi supaya mampu bersaing dengan graduan lain kerana kerjaya ini menuntut kebolehan dan mengambil kira portfolio pernah dihasilkan.
Tugas juruanimasi
Mencipta papan cerita yang menggambarkan konsep dan jalan cerita.
Merancang model, latar belakang, set, karakter dan objek dalam animasi.
Lazimnya membabitkan ruang lingkup 2D atau 3D.
sumber;berita harian