Kasut manik nyonya buatan tangan cecah RM950 sepasang

GEORGETOWN: Usianya sudah mencecah 60 tahun, namun mata si tukang kasut tradisi ini masih ‘tajam’ untuk menghasilkan kerja tangan yang halus bagi memuaskan hati pelanggan.

Masa yang dilaluinya begitu pantas buat Tan Kok Oo, 60, anak jati kelahiran Kampung Alma Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini, yang sudah 41 tahun mengabadikan diri dengan pembuatan kasut manik nyonya iaitu persalinan yang sinonim dengan peranakan Baba dan Nyonya sejak ratusan tahun dahulu.

Namanya mungkin tidak sehebat pereka kasut antarabangsa seperti Datuk Dr Jimmy Choo, namun bapa kepada dua anak itu tetap bangga kerana dapat mempertahankan ‘jangka hayat’ kasut tradisi ini untuk terus diminati.

Mengakui bahawa minat generasi baru terhadap kasut manik nyonya semakin pudar, namun Kok Oo tidak pernah patah semangat, sebaliknya berazam terus menghasilkannya kasut tradisi ini dengan menyuntik elemen moden supaya ia terus bertahan.

“Untuk membuat sepasang kasut manik nyonya, saya memerlukan masa dua hingga empat bulan iaitu bergantung kepada jenis corak yang dipilih pelanggan.

“Sehari saya akan memperuntukkan empat jam di dalam bilik khas di rumah untuk menjahit manik dan sepanjang tempoh itu saya tidak akan membenarkan sesiapa pun mengganggu.

“Justeru, saya akan melakukan kerja pada waktu malam dan mengurung diri dalam bilik khas berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga pemilik Tan Nyonya Beaded Shoes yang terletak di Lebuh Armenian, berkata kasut yang dihasilkan di kedainya adalah 100 peratus daripada buatan tangannya sendiri dan ia turut menggunakan kulit berkualiti tinggi.

Jelasnya, beliau hanya akan menerima tempahan kasut dengan mengukur sendiri kaki pelanggan kerana setiap individu mempunyai bentuk kaki berbeza walaupun memakai saiz yang sama.

“Kasut manik nyonya Pulau Pinang adalah berbeza dengan buatan di Melaka yang dapat dibezakan mengikut corak manik dan kehalusan kerja tangan.

“Malah, untuk menghasilkan sepasang kasut ini ia memerlukan tahap kesabaran yang cukup tinggi dan individu yang tidak sabar tidak sesuai untuk menceburi bidang ini,” katanya.

Mengimbas permulaan pembabitannya dalam bidang pembuatan kasut terbabit, Kok Oo berkata, kemahiran membuat kasut manik nyonya itu dipelajari daripada bapa saudaranya ketika beliau berusia 17 tahun.

“Ketika itu, amat sukar memperoleh pekerjaan. Jadi, setiap hari saya akan ke kedai kasut pak cik di Kampung Alma dan belajar menjahit manik untuk membuat kasut berkenaan,” katanya.

Ulasnya, daripada ‘suka-suka’ akhirnya timbul minat untuk serius menceburi bidang berkenaan dan bapa saudaranya itu adalah individu yang bertanggungjawab serta memberi kepercayaan kepadanya meneruskan legasi perniagaan keluarga mereka.

“Proses yang paling sukar adalah menyulam manik kerana ia rumit dan sebab itu tidak ramai terutama golongan muda yang berminat dalam bidang ini. Malah, anak serta isteri saya juga tidak berminat mewarisi kemahiran yang saya ada kerana bagi mereka ia susah dan tidak berbaloi.

“Selain itu, cara menyusun manik ini juga memerlukan teknik kesenian dan kemahiran kerana ia menentukan corak dan warna bunga apabila siap. Malah jahitan manik ini mengambil masa antara dua hingga empat bulan untuk disiapkan.

“Jahitan yang sudah selesai itu akan digunting kelilingnya bagi mendapat bentuk pada muka atau kepala kasut sebelum ia dicantumkan pada tapak kasut,” katanya.

Kok Oo berkata, ketika ini beliau mempunyai dua pelatih wanita berusia 30-an yang diyakini dapat mewarisi kemahirannya untuk diperturunkan kepada generasi akan datang.

“Dalam simpanan saya ada sepasang kasut manik nyonya milik nenek saya dianggarkan berusia 100 tahun. Kasut ini tidak akan dijual dan akan disimpan dengan baik serta dibingkaikan untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Kok Oo berkata, ketika ini sudah tidak ramai pembuat kasut manik nyonya di Pulau Pinang dan permintaan terhadap kasut itu juga semakin mengecil.

“Di Pulau Pinang hanya tinggal tiga pembuat kasut manik nyonya dan semua adalah ‘orang lama’ memandangkan anak muda tidak berminat dalam industri ini,” katanya.

Kok Oo berkata, kebanyakan pelanggannya adalah wanita berusi 50-an terutama masyarakat Tionghua, yang kebiasaannya membuat tempahan untuk menghadiri majlis keraian atau perkahwinan.

“Selain rakyat tempatan, saya juga mempunyai pelanggan dari Jepun, Australia, Singapura dan juga Eropah yang membeli kasut manik nyonya yang dihasilkan,” katanya.

Kok Oo berkata, walaupun permintaan pada masa ini agak perlahan namun, perniagaannya masih boleh diteruskan kerana mempunyai pelanggan tetap yang membuat tempahan berterusan.

“Ada juga pelancong asing yang kebetulan singgah di kedai saya, terus membeli kasut manik nyonya ini kerana minat. Selain itu, saya sedia menerima tempahan sebelum menghantar kasut yang siap ke negara mereka menggunakan pos.

“Setiap kasut yang dihasilkan mempunyai daya ketahanan lebih 10 tahun dan jahitan manik pada kasut juga boleh bertahan lama dan tidak tercabut,” katanya.

Lebih menarik, peralatan dan mesin yang digunakan Kok Oo bagi membuat kasut manik nyonya berusia lebih 60 tahun yang diwarisi daripada bapa saudaranya.

“Mesin jahitan dan memotong kulit ini sudah berusia lebih 60 tahun. Setakat ini. ia masih elok kerana saya menjaga peralatan ini umpama menjaga diri sendiri,” katanya.