Gigi anak rosak teruk gara-gara menyusu botol? Ketahui panduan cegah karies susu

Tidak keterlaluan dikatakan ramai ibu bapa yang mengambil remeh soal penjagaan gigi anak-anak kerana menganggap mereka baru melalui fasa gigi susu dan bukannya gigi kekal.

Mungkin ramai yang tidak tahu gigi susu lebih rapuh berbanding gigi kekal kerana lapisan enamelnya yang lebih nipis. Disebabkan itulah, ada kes di mana gigi anak hancur seperti kapur.

Ditambah pula anak kuat menyusu botol dan ia akan menyebabkan wujudnya bakteria dalam mulut serta gula dalam susu akan menjadi berasid lalu menghakis giginya.

Situasi ini dipanggil sebagai karies susu dan jika tidak dijaga dari awal, ia akan merosakkan struktur gigi serta menyebabkan kesakitan, infeksi, penanggalan gigi serta pelbagai penyakit berbahaya berkaitan gigi.

Jadi kepada ibu bapa, jangan leka dan abaikan penjagaan serta kesihatan gigi anak-anak. Jom semak panduan mencegah karies susu di bawah.

Berus atau cuci gigi anak sebaik sahaja gigi pertama anak tumbuh.

Bawa anak jumpa doktor gigi sebaik gigi tumbuh. Ini untuk membiasakan anak dengan suasana klinik gigi dan peralatannya.

Bersihkan mulut bayi selepas meminum susu dengan menggunakan kain lembap yang dibalut pada jari manis anda dan digosok pada gigi dan gusi bayi untuk membuang sisa susu.

Jangan biarkan anak tertidur dengan botol yang mengandungi susu atau air manis.

Jika anak sudah tidur lena selepas menyusu botol, pastikan cabut puting susu dan gantikan dengan air masak dalam botol lain untuk membilas sisa susu yang melekat pada gigi.

Kurangkan penggunaan botol susu secara berperingkat dan galakkan anak minum menggunakan cawan atau sudu.

Elakkan memasukkan gula ke dalam susu anak anda.

Elakkan memberi mereka ‘jajan,’ makanan atau minuman manis.

Ibu bapa atau penjaga perlu membantu kanak-kanak memberus gigi. Angkat bibir atas anak untuk memastikan tiada plak terkumpul di bahagian pinggir gusi.

Jangan kongsi sudu dan garfu ketika menyuap makanan. Ini kerana sekiranya mulut ibu bapa tidak bersih, maka bakteria daripada mulut ibu bapa akan berjangkit ke mulut anak.

Jalani pemeriksaan di klinik gigi setiap 6 bulan.

Sumber: Facebook Azila Dentist dan Facebook Dr Muhamad Iqbal Rosali